Dec 1, 2017

Rawatan Kurap

Penyakit kurap boleh dirawat dengan penggunaan ubat antikulat. 
Jenis rawatan bergantung kepada faktor :
1.Keluasan kawasan yang dijangkiti, 
2.Kekerapan jangkitan berulang selepas dirawat, 
3.Kurap yang tidak sembuh dengan rawatan sapuan krim dan sebagainya.
Sekiranya kurap hanya melibatkan kawasan kulit yang terhad, ubat dalam bentuk krim adalah yang paling sesuai. Krim-krim yang mengandungi bahan aktif seperti imidazole, allylamine, tolnaftate dan cicloprox boleh digunakan.
Teknik sapuan krim yang betul harus digunakan – ubat perlu disapu di atas plak dan melebihi sempadan kurap. 
Rawatan perlu dilakukan dua kali sehari selama dua hingga empat minggu, bergantung pada jenis ubat yang digunakan.
Jika terdapat banyak kawasan yang dijangkiti kurap, ubat antikulat dalam bentuk kapsul atau pil adalah pilihan yang lebih praktikal. Di antara ubat antikulat yang kerap digunakan adalah fluconazole, itraconazole dan terbinafine. Walau bagaimanapun, ubat-ubat ini mempunyai kesan sampingan yang tersendiri. Ia boleh berinteraksi dengan ubat-ubat lain dan boleh menyebabkan ‘hepatitis’ terutamanya pada sesetengah individu. Oleh itu, pastikan ubat-ubat ini diperoleh daripada pengamal perubatan yang arif tentang penggunaannya. Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan daripada membeli ubat-ubatan tanpa preskripsi terutamanya jika anda juga mengambil ubat-ubat yang lain.
Pencegahan
Rawatan awal yang mencukupi amat penting untuk mempastikan jangkitan kurap sembuh dan tidak berulang. Walau bagaimanapun, jangkitan ini masih boleh berulang  sekiranya seseorang itu juga mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal, mempunyai daya imuniti yang rendah, menerima rawatan kali pertama dengan dos atau jangka masa yang tidak mencukupi dan pelbagai faktor lain. Elakkan daripada berkongsi tuala, pakaian atau kasut dengan orang lain dan pastikan kawasan kulit yang terlibat tidak sentiasa lembap.
Sumber :myhealth

No comments:

Post a Comment

Followers